Jadikan Kejujuran Sebagai Tabiat

Ustaz nak berkongsi ringkas mengenai jadikan kejujuran sebagai tabiat. Ayuh 

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا وَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Daripada Abdullah (Abdullah bin Mas’ud) RA daripada Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya kejujuran akan membimbing pada kebaikan, dan kebaikan itu akan membimbing ke syurga, sesungguhnya jika seseorang yang sentiasa berlaku jujur hingga dia akan dicatat sebagai orang yang jujur. Dan sesungguhnya kedustaan itu akan menghantarkan pada kejahatan, dan sesungguhnya kejahatan itu akan menggiringi ke neraka. Dan sesungguhnya jika seseorang yang selalu berdusta sehingga akan dicatat baginya sebagai seorang pendusta.” (HR Bukhari No: 6094) Status: Hadis Sahih
Pengajaran untuk kita ialah: 

1.  Islam adalah agama yang menuntut kepada setiap Muslim supaya sentiasa jujur dan menjauhi kedustaan dalam setiap perkara sama ada perkataan, perbuatan mahupun pekerjaan.

2.  Seorang Muslim yang sentiasa jujur dari segi percakapan, perbuatan,  akhlak, dan pekerjaan, ia akhirnya akan menjadi kebiasaan dalam amalannya. Kebiasaan yang jujur dan baik dalam amalannya menyebabkan ia dikenali oleh orang ramai sebagai orang yang jujur dan benar. Kebiasaan yang baik ini  akan mendekatkannya kepada syurga.

3.  Seorang yang sentiasa berdusta, berbohong mahupun menyampaikan berita palsu, perbuatan tersebut akan mendorongnya kepada kejahatan. Jika berterusan, perbuatan itu akan menjadi tabiat kebiasaan kepadanya. Perbuatan itu merupakan dosa yang akan  menjadi penyebab dia dimasukkan ke neraka.
4.  Setiap Muslim hendaklah sentiasa jujur dan benar dalam setiap pertuturan,  penulisan dan perbuatan. Ucapkanlah perkataan yang betul, penulisan yang benar dan boleh mendatangkan kebaikan kerana ia akan menarik rahmat dan keampunan Allah SWT serta akan menyebabkan dirinya dikenali sebagai seorang yang benar. Ingatlah bahawa seseorang yang benar, sama sekali tidak pernah berdusta.

Hindari berdusta kerana ia akan menghapuskan kebenaran. Biasakan diri dengan sifat jujur dan benar dalam pertuturan, penulisan dan perbuatan sehingga kita akan dikenali sebagai orang yang jujur dan benar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *